Ilmu pengangkat darjat

Semalam dalam kereta.

“Cuba tengok, dua dua adik bongsu, tapi cara deorang lain-lain. Abang rasa, apa yang bezakan deorang?”
“Emm. Sorang anak orang senang, dimanjakan. Sorang lagi anak orang kebanyakkan, biasa hidup susah mungkin?”
“Ilmu. Sorang ade Degree, sorang lagi SPM je. Itulah bezanya”

Aku kerut dahi.
Macam macam perkara yang bermain di fikiran.

“Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: ‘Berlapang-lapanglah dalam majlis’, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: ‘Berdirilah kamu’, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yangberiman di antaramu dan orang orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” – Surah Al-Mujaadilah, Ayat 11.

Ya, benar.
Allah mengangkat darjat orang orang yang berilmu.
Tapi pada pandangan saya, definasi berilmu tu rasanya tak hanya tertakluk kepada sijil yang kita ada kan?. Ijazah ke, diploma ke even SPM sekali pun, tak menggambarkan sepenuhnya tahap ilmu yang kita ada.

Sebab pada pandangan saya, sistem pembelajaran kat Malaysia ni, dari tadika sampai ke masuk universiti, semuanya lebih kepada menghafal.Kadang kadang, nak masuk temuduga kerja pon kena menghafal.

Di tadika, hari pertama lagi cikgu tadika yang cun tak hengat tu dah suruh hafal ABC, hafal 123. Berbeza dengan negara maju yang lain, kanak kanak lebih diajar melalui pengalaman. Ingat lagi saya cerita pensyarah yang menceritakan pengalaman beliau menghantar anak ke tadika sewaktu melanjutkan pelajaran di negara asing. Kanak kanak dibawa ke kolam mandi. Guru tadika akan letakkan batu dan itik kuning terapung ke dalam kolam. Secara logik, itik akan terapung dan batu akan tenggelam. Fenomena ini ditanya kepada kanak kanak. Kenapa jadi begitu?. Kanak kanak pula akan diberi peluang meberikan pendapat masing masing dan akhirnya guru akan terangkan mengapa ia berlaku. Dan apa yang lebih menarik, kanak kanak itu nampaknya lebih ingat dan memahami fenomena itu tanpa perlu menghafal. Kan menarik begitu?

Di zaman universiti dahulu, ada juga golongan yang hebat menghafal. Setiap bait bait dalam buku itu boleh dihafal sebijik sebijik. Kalau exam tu, memang dia boleh score habis. Tapi bila sampai bab practical, memang apa yang dihafal tak dapat membantu sebab pemahamannya terhadap apa yang dihafal adalah rendah. Yang dia tau, hafal dan luahkan. Burung kakak tua bak kata seorang lagi pensyarah saya dulu.

Berbalik ke topik ilmu.

Jangan rasa rendah jika kita tidak mempunyai sijil kelulusan yang tinggi. Sebab bagi saya ilmu itu bukan hanya terdapat di institusi pengajian sahaja. Ilmu itu di mana mana. Cuma kadang kadang kita ini terlalu sombong untuk menerima ilmu. Ilmu itu pula bukan hanya datang dari buku atau pembelajaran secara formal sahaja, pengalaman juga boleh dikira sebagai ilmu.

Contoh paling dekat dengan saya ialah bila berhadapan dengan operator pemasangan di kilang tempat saya berkerja. Secara amnya, memanglah mereka akan membina jurang imiginari kerana perbezaan taraf dan pangkat dalam organisasi. Namun apa yang saya tahu hanyalah dari sudut teori. Akan tetapi, bagi saya mereka ini lebih berilmu dalam konteks pengalaman. Input dari mereka kadang kadang lebih bernas dari kami yang beranggapan kononnya lebih arif ini. Membiasakan diri dan berkawan dengan mereka adalah sesuatu yang saya hargai kerana bagi saya banyak perkara yang saya boleh belajar dari mereka secara langsung mahupun tidak langsung.

Oleh itu, kesimpulannya jangan merasa rendah diri diatas kelulusan kita yang tertulis diatas sijil kerana yang sebenarnya apa yang penting ialah ilmu di dada dan mengamalkannya. Dan tak perlu pula kita berbangga diri dengan ilmu yang kita ada kerana ilmu Allah yang hari ini kita perolehi hanyalah ibarat setitis air di lautan. Terlalu sedikit untuk dibanggakan. Ilmu itu pula boleh diperolehi di mana sahaja dan dari sesiapa sahaja. Adik, kakak, abang, ibu, anak, bapa, tukang repair kasut, tukakng cuci kereta, bos, kuli, pendek kata semuanyalah. Cuma kita jangan teralu ego untuk mendengar ilmu yang orang lain ingin sampaikan dan gunakanlah kebijaksanaan diri untuk membezakan baik buruk sesuatu ilmu itu.

Teringat saya pada pada pesanan seorang ustaz dalam radio yang saya dengar ketika pulang dari pejabat.

“Hanya lembah boleh menadah air, gunung yang tinggi tak mampu menakung hujan”

Dengan membawa maksud elakkan sifat takkabur kerana hanya mereka yang merendah diri dan tawaduk sahaja mampu menerima ilmu.
(Juga peringatan pada diri sendiri)

Itu kata saya. Apa kata anda?

2 thoughts on “Ilmu pengangkat darjat

  1. Sangat menarik dan bernas. Keupayaan menghurai dan mengupas isu sangat baik… anakku isu ini boleh dihantar ke ruangan akhbar.. ada unsur persolan dan pemikiran…Satu lagi koleksi yg patut disimpan dengan baik

Leave a comment